how to create your own web page for free

Komponen Sistem Bahan Api

Berikut adalah komponen asas Sistem Bahan Api. Kenderaan anda mungkin mempunyai variasi yang berbeza

Tangki Bahan Api

Tangki bahan api berfungsi untuk menyimpan bahan api dalam keadaan selamat. Tangki ini biasanya terletak di bahagian bawah tempat duduk belakang bagi kereta dan di bahagian sisi bagi lori.

Kebanyakan tangki bahan api diperbuat daripada logam seperti keluli dan aluminium. Masalah utama tangki logam adalah oksidasi dan karat.

Untuk mengatasi masalah ini, teknologi tangki plastik telah diperkenalkan. Tangki plastik adalah ringan, tidak berkarat dan tahan lasak. Namun kenderaan yang menggunakan tangki plastik amat terhad buat masa ini. 

Pam Bahan Api

Terdapat 2 jenis pam bahan api – mekanikal dan elektrik. Pam mekanikal digunakan oleh kenderaan yang mempunyai karburetor dan pam elektrik digunakan oleh kenderaan sistem injection.

Pam elektrik biasanya berada di dalam tangki petrol. Ini disebabkan pam elektrik mengeluarkan haba dan bahan api di dalam tangki berfungsi sebagai pelincir dan penyejuk. 

Penapis Bahan Api

Bahan api terdedah kepada bahan pencemaran seperti debu, pasir, karat, habuk besi, air dan juga mikrob.

Bahan pencemaran ini jika tidak ditapis ianya akan membuatkan komponen sensitif seperti Fuel Rail, Karburetor dan Fuel Injector tersumbat.

Penapis ini selalunya ditukar setiap 2 tahun sekali.

Fuel Rail 

Fuel Rail berfungsi untuk menyalurkan bahan api dalam tekanan tinggi kepada injector. Tekanan di dalam fuel rail boleh melebihi 1500psi. Fuel Rail didapati pada kenderaan yang menggunakan injection.

Karburetor

Karburetor berfungsi untuk mencampurkan bahan api dengan udara. Ia banyak digunakan oleh enjin petrol model lama. Udara yang telah ditapis akan melalui karburetor untuk dicampurkan dengan bahan api.

Untuk pembakaran sempurna, partikel yang halus diperlukan dan disebabkan pelarasan dibuat secara mekanikal, nisbah yang tepat sukar untuk diperolehi dan ini meningkatkan penggunaan bahan api. Kini ia diganti dengan Sistem Injection.

Fuel Injector

Injector berfungsi untuk menyemburkan bahan api dalam tekanan tinggi kedalam silinder. Partikel bahan api menjadi teramat halus dan boleh terbakar dengan sempurna. Jumlah bahan api yang disemburkan juga boleh dikawal mengikut RPM kenderaan secara elektronik. Ini membolehkan lebih kuasa dihasilkan dengan bahan api yang sedikit.

Ini menyebabkan teknologi ini digunakan oleh banyak kenderaan kerana penjimatan bahan api.

Terdapat 2 jenis sistem injector iaitu : 
 


Port Fuel Injection 

Port Fuel Injection atau PFI/EFI menyemburkan bahan api melalui ruang intake sebelum silinder . Injector berada sebelum valve dan akan menyemburkan bahan api ketika valve terbuka. Apabila enjin melakukan lejang kuasa, valve akan tertutup dan injector terlindung dari haba yang tinggi. Ini membolehkan injector yang murah digunakan didalam sistem injector.

Kelemahan sistem ini adalah lapisan enapan mudah terbentuk di bahagian port dan valve kerana ia dibasahi oleh bahan api yang tidak terbakar. Sistem ini digunakan oleh kenderaan petrol.

Direct Injection

Sistem Direct Injection pula menyemburkan bahan api terus kedalam silinder. Ia digunakan di dalam enjin diesel dan juga sesetengah enjin petrol yang baru.

Kelebihan sistem ini adalah penggunaan bahan api yang efisyen. Bahan api yang disembur kedalam silinder akan terbakar dengan lebih sempurna. Ini meningkatkan kuasa dan mengurangkan pencemaran.